Salam sejahtera dan salam satu Malaysia. Disini saya ingin kongsikan tentang Mata pelajaran Kesusasteraan Melayu mengenai semua aspek. contohnya, sinopsis karya, tema dan persoalan, watak dan perwatakan, nilai dan pengajaran, sudut pandangan, binaan plot, gaya bahasa dan sebagainya. Perkongsian ini diharap dapat membantu para pelajar dan guru mengetahui lebih lanjut mengenai karya-karya sastera.

Sebelum itu, saya ingin mengingatkan semula bahawa jumlah buku Kesusasteraan Melayu yang perlu dikaji setakat ini ialah tiga buah buku. Antaranya,
1. Novel Naratif Ogonshoto
2. Nilai Ihsan
3. Ku Bentang Sehelai Peta

NOVEL NARATIF OGONSHOTO
Pada mulanya kita perlu mengkaji dahulu buku Novel Naratif Ogonshoto. Buku ini ditulis oleh Sasterawan Negara iaitu Anwar Ridhwan. Buku ini mula diguna pakai sebagai buku yang perlu dikaji oleh pelajar Kesusasteraan Melayu tingkatan 4 dan tingkatan 5 bermula pada tahun 2016.



SINOPSIS

PROLOG :        KAWAI MARU
Latar Tempat : Kawai Maru, Malagana, Tatamanu (Ibu negara Ogonshoto), Teluk Pinavana, Kepulauan Ogonshoto yang terdiri daripada Gora-Gora, Rai-Rapa dan  
Futu-Ata .... Watak : Kami, Tuan kawai, nakhoda bahtera
Pengarang / ‘Kami’ menceritakan pengalaman bekerja di kapal besar nelayan bernama Kawai Maru yang telah didaftarkan di Kobe, Jepun. Pemilik kapal ini ialah Tuan Kawai Maru menjadi nelayan sejak berusia 15 tahun. Tuan Kawai Maru menjadi kaya raya pada usia 30-an dan mempunyai pengetahuan yang luas tentang dunia lautan.  Kapal yang menggunakan namanya sendiri itu boleh menempatkan 200 orang pekerja dan dilengkapi dengan teknologi telekominikasi canggih. Hasil tangkapan kapal ini mampu mencapai 3 juta tan ikan laut dan merupakan kapal induk di lautan Pasifik.
Kawai Maru pernah sampai ke Jurang Marianas, Galapagos, Nauru termasuklah kepulauan Ogonshoto. Ogonshoto merupakan sebuah republik 6 buah pulau iaitu Gora-Gora, Futu-Ata, Rai-Rapa, Kai Rai-Rapa, Kai Futu-Ata dan Kai Gora-Gora terletak 1500 batu di barat laut Pulau Easter milik Chile. Menurut cerita Kawai Maru, kepulauan ini ditemui oleh pelayar-pelayar Jepun pada zaman Edo dan memberikan nama Ogonshoto dan masih terdapat pengaruh Jepun di republik ini termasuk kacukan Jepun yang mendiami Futu-Ata.
Ogonshoto digambarkan memiliki panorama yang cantik dan menakjubkan disamping perairannya merupakan lubuk ikan luar biasa. Kapal Kawai Maru berlabuh di pelabuhan utama Ogonshoto yang terletak di Teluk Pinavana. ‘Kami’ akan bergilir-gilir ke Tatamanu menggunakan bot kecil yang merupakan ibu negara Ogonshoto.
Terdapat juga anak-anak kapal pergi ke Malagana untuk mendapatkan hiburan. Sepanjang tempoh berada di daratan, masyarakat Ogonshoto sering menceritakan pelbagai kisah yang berlaku di Ogonshoto kepada anak-anak kapal Kawai Maru. Di sini, ‘kami’ pernah berjumpa dengan seorang nakhoda bersama pengikutnya yang cuba mencari daratan baharu. (Rujuk Bab Bahtera)
            Cerita-cerita dari Ogonshoto ini terus menjadi buah mulut masyarakat Ogonshoto dan anak-anak kapal Kawai Maru. (Cerita-cerita yang pernah didengar oleh pengarang daripada masyarakat Ogonshoto ialah  cerita Kolonial, Jeneral, Penyamaran, Aisberg, Mainan, Pentafsir, Jari, Kamera, dan Bahtera.

BAB 1:                  KOLONIAL
Latar Tempat: Malagana, Tanjung Takaeta, Eropah, Gora-Gora
Watak :
Bab Kolonial mengisahkan tentang sejarah hidup Presiden Republik Ogonshoto yang zalim. Kisah ini tidak sama dengan bibliograpi beliau setelah menjadi Presiden. Kisah tersebut telah ditokok tambah menjadi hebat belaka.
                Presiden Ogonshoto asalnya hanya seorang anak luar nikah yang berasal dari Malagana. Ibunya orang tempatan Malagana, sementelahan “bapa-bapanya” tidak dapat dikenalpasti. Malagana merupakan sebuah tempat di Gora-Gora, salah satu daripada enam buah pulau yang membentuk Republik Ogonshoto. Ketika kecil beliau sering memerhatikan kapal-kapal asing yang berlabuh di Tanjung Takaeta. Perkara ini menimbulkan keinginan dalam diri beliau untuk pergi ke luar negara. Lantas, pada suatu petang beliau telah menyelinap masuk ke dalam sebuah kapal dari Eropah. Beliau ditangkap pada hari kesepuluh pelayaran. Nakhoda kapal tersebut telah menitipkan beliau di rumah seorang pesara kelasi. Namun demikian, nakhoda membiayai sepenuhnya pengajian beliau sehingga ke peringkat universiti. Sebaik tamat pengajian, anak  Malagana itu mengambil keputusan untuk belayar selama empat belas hari dengan tujuan untuk berlibur sebelum memasuki alam pekerjaan di Eropah.  Malangnya kapal mereka dipukul ribut sehingga tiang layarnya patah. Kapal mereka yang hanyut memasuki perairan tanah airnya, Ogonshoto. Beliau menyedarinya apabila ternampak asap gunung berapi Gora-Gora. Mereka bernasib baik apabila kapal mereka yang teroleng-oleng ditemui oleh sekumpulan orang dari Ogonshoto yang menaiki dua buah perahu. Beliau memperkenalkan diri dan meminta orang-orang tersebut mencari ibunya dan mengkhabarkan  tentang kepulangannya. Setelah itu barulah dia mahu diselamatkan. Berita kepulangannya tersebar meluas. Sekumpulan wartawan dan ribuan penduduk Pulau Gora-Gora menyaksikan beliau memeluk lutut ibunya sebaik kembali di negara asal.
                Tiga orang rakannya kembali ke Eropah manakala beliau mengambil keputusan untuk menetap di Gora-Gora dan menceburi bidang politik. dia mulai menkaji kelemahan pihak atasannya termasuk Presiden ketika itu. selepas tiga tahun menceburi bidang politik, beliau dilantik menjadi Timbalan Presiden. Enam bulan kemudian Presiden ketika itu mati mengejut dalam tidurnya. Anak Malagana itu dilantik menjadi Presiden yang baru.
                Beliau menjalankan pemerintahan kuku besi dan melenyapkan penentangnya secara senyap. Beliau juga mula menjalankan rencananya membangunkan Ogonshoto dengan menjemput kapitalis asing melabur di Ogonshoto. Presiden itu juga mulai mempengaruhi anggota-anggota Dewan Presiden dengan kekayaan. Beliau juga memutar belit definisi fahaman kapitalis. Akhirnya ahli-ahli politik dan pucuk pimpinan negara berlumba-lumba menggumpul harta, manakala rakyat jelata tetap hidup dalam keadaan sederhana dan miskin.
  
BAB 2 :                        JENERAL
Latar Tempat    : Ture, Restoran makanan laut, dewan mesyuarat, pengkalan Ture
Watak :
Bab 2  mengisahkan percaturan politik antara Jeneral bersara, Pegawai kanan dan Wakil Dewan Presiden. Jeneral bersara meninggalkan kekayaannya di Tatamanu dan berhijarah ke Ture demi cita-cita besarnya dalam Politik. Pada hari pertama menjejakkan kaki di Ture beliau mula mempromosikan diri apabila menjemput wartawan televisyen, akhbar  dan jemputan terpilih dalam upacara memuja “semangat rumah”. Beliau dan isterinya juga mula berbaik-baik dengan penduduk Ture dan meniru gaya hidup penduduk kawasan itu. Jeneral juga mengatakan bahawa kunjungan paus-paus biru di Selat Geneva seminggu selepas kedatangan beliau ke Ture, merupakan satu petanda baik.
            Namun demikian, kehadiran Jeneral tidak disenangi oleh pegawai kanan pemerintahan provinsi Ture. Beliau dapat merasakan bahawa kehadiran Jeneral akan menggugat kedudukannya untuk bertanding menggantikan Wakil Dewan Presiden yang dikhabarkan sudah uzur dan hampir nyanyuk. Maka pegawai kanan dan pengikutnya mula menyebarkan berita yang Jeneral sebenarnya ialah anak kelahiran Fukana, bukannya Ture. Mereka juga turut mengada-adakan cerita lelucon, menghina ibu Jeneral yang kononnya berbadan besar sehingga mengerang sakit bersalin  di Fukana dan bersalin di tempat yang jauh iaitu Ture. Namun demikian , Jeneral sebenarnya telah membuat persiapan awal dan berjaya menepis propaganda pegawai kanan.
            Wakil Dewan Presiden yang mula tercium niat kedua-dua orang seteru itu, mula mengatur langkah. Beliau menjemput kedua-duanya  untuk makan malam bersamanya di sebuah restoran makanan laut di Ture. Beliau yang terlambat tiba memberi alasan bahawa beliau terlupa akan perjumpaan tersebut. Beliau mengutuk dirinya sendiri yang teruk, tidak sihat, nyanyuk  dan sudah tidak layak lagi menjadi pemimpin. Beliau turut menyatakan hasrat untuk berundur dan meminta kepastian akan niat dua orang seteru itu untuk bertanding merebut jawatan Wakil Dewan Presiden. Jeneral menafikan niatnya dengan alasan beliau merupakan orang baru di Ture. Pegawai kanan pula menyatakan bahawa dia hanya akan bertanding sekiranya Tuan Wakil Dewan Presiden mengundur diri.
            Selepas perjumpaan itu, pegawai kanan gembira kerana laluan untuknya menggantikan tuan Wakil Dewan Presiden terbuka luas. Namun demikan, kegembiraannya bertukar amarah apabila mengetahui pengaruh Jeneral bertambah kuat hanya empat hari selepas perjumpaan itu. Rupanya, Jeneral telah menggunakan kelalaian pegawai kanan sebagai ruang untuk berkempen. Pegawai kanan mengambil langkah akhir, berkempen dengan menggunakan pengaruh Presiden. Beliau mengeluarkan hampir kesemua wangnya untuk mencetak kertas kempen yang turut meletakkan wajah Presiden.
            Dalam kegawatan berkempen, Jeneral dan pegawai kanan mendapat panggilan yang kononnya dari pejabat Presiden. Pemanggil menyatakan bahawa presiden ingin bertemu dengan Jeneral dan pegawai kanan pada malam itu dalam sebuah bot di hujung pengkalan Ture.
            Pada malam tersebut mereka berdua pergi ke hujung pengkalan Ture untuk bertemu Presiden. Jeneral menembak mangga yang mengunci pintu pagar pengkalan itu. Pegawai kanan memuji reka bentuk pistol Jeneral dan menyatakan niatnya untuk melihat-lihat pistol itu dalam jarak dekat. Tanpa prasangka, Jeneral meminjamkan pistolnya kepada pegawai kanan.  Pegawai kanan becerita pasal umang-umang dan tiba-tiba mengacukan pistol ke arah Jeneral. Jeneral tidak mundur sebaliknya merampas pistol yang tidak berpeluru itu. setelah, mengisi sebutir peluru, Jeneral menembak pegawai kanan, tepat pada jantungnya. Setelah itu, Jeneral membuang mayat pegawai kanan ke dalam laut. Lalu berdiri menghadap laut menanti kehadiran Presiden. Namun, Presiden tidak kunjung tiba.
            Selepas kematian pegawai kanan, Jeneral telah menawarkan diri untuk bertanding. Jurucakap parti pula mengatakan bahawa pegawai kanan yang berura-ura untuk bertanding tidak muncul untuk menghantar borang pencalonan.
            Pada hari mesyuarat pemilihan, Tuan Wakil Dewan Presiden menjadi pengerusi.  Mesyuarat berjalan lancar sehinggalah beliau meminta ahli mesyuarat berehat selama tiga puluh minit. Ketika ahli mesyuarat yang lain keluar berehat, Tuan Wakil Dewan melambai Jenaral. Jenaral menghampirinya dengan senyuman tanpa menyedari dua buah kereta polis mulai memasuki pekarangan dewan mesyuarat. Jeneral terperanjat apabila Tuan Wakil Dewan menunjukkan gambar pembunuhan pegawai kanan di hujung pengkalan Ture.  Empat orang anggota polis masuk dan memberkas Jeneral. Cita-cita politiknya terkubur. Tuan Wakil Dewan pula terus mengekalkan jawatannya.

BAB 3 :                        PENYAMARAN
Latar Tempat:   Tubua, rumah ketua kumpulan protes, simpang tiga, tebing sungai tempat lelaki tua bertemu dengan kumpulan pemprotes  
Watak :                        
Bab tiga mengisahkan tentang penyamaran sebagai nelayan tua dari Kuri untuk menghentikan protes di Tubua. Presiden gusar mendengar peristiwa protes yang berlaku di Tubua sehingga tidak mempedulikan jambang dan misainya. Rakyat di Tubua menulis sepanduk yang menentang pembinaan jalan raya di kawasan lereng gunung. Pembinaan jalan raya itu bertujuan untuk memudahkan pelancong datang ke Tubua bagi mengisi rumah-rumah perjudian yang kononnya akan dibina kelak. Penduduk Tubua berpendapat, membuka rumah perjudian hanya akan memporak-poranda kerukunan hidup berkeluarga di Tubua. Pelancong luar pastinya tidak mahu datang ke pedalaman Tubua yang terpencil.  Lebih teruk lagi, pembinaan jalan raya tersebut akan memusnahkan keindahan kolam air panas dan kawasan tadahan air di Gora-Gora. Perkara tersebut pastinya akan menyusahkan kehidupan rakyat.

Isu protes ini disiarkan di kaca televisyen dan menghias dada akhbar Ogonshoto. Sekiranya tidak dibendung, protes di Tubua akan menjadi pemangkin protes di seluruh Ogonshoto. Lantas Presiden sendiri  datang ke Tubua dan menyamar sebagai seorang nelayan tua yang berasal dari Kuri. Sebaik sahaja di tiba di Tubua dia bertemu dengan ketua kumpulan protes dan memberikan sokongan terbuka terhadap perjuangan mereka. lelaki tua dari Kuri itu bermalam di rumah ketua kumpulan protes dan berkenal-kenalan dengan ahli kumpulan protes yang lain. Dia mencadangkan agar kumpulan itu berarak terus ke istana Presiden di Tatamanu untuk berunding dengan seorang anak muda lulusan California yang bekerja di Pejabat Presiden. Lelaki tua itu mengatakan bahawa Presiden sedang menjalankan tugas negara di Peru.
Lelaki itu itu mengetuai pergerakan ke Tatamanu. Namun, simpang menunju ke Tatamanu di sekat dengan kawat berduri dan dikawal ketat oleh sekumpulan tentera. Lelaki tu itu meminta para pemberontak berhenti dan dia berdiri di tengah-tengah antara kedudukan kumpulan pemprotes dengan kumpulan tentera. Ketika keadaan hening, tiba-tiba sahaja orang tua itu menjerit, “dari Kuri” seolah-olah memberi isyarat kepada pasukan tentera untuk melepaskan gas pemedih mata. Apabila gas pemedih mata dibebaskan, presiden yang menyamar sebagai orang tua itu hilang dalam kabut gas dan kumpulan pemprotes menjadi kucar-kacir.
           
Peristiwa tersebut telah melemahkan semangat para pemprotes di Tubua. Media massa di Tubua pula manyatakan bahawa Presiden baru tiba dari Peru untuk menutup penyamaran itu. selain itu, televisyen di Tubua turut meyiarkan berita penangkapan seorang lelaki yang terlibat dengan pemprotesan Tubua yang kini sedang disiasat pihak tentera. Meskipun, segelintir saki-baki kumpulan pemprotes mengsyaki bahawa orang tua dari Kuri itu adalah Presiden yang sedang menyamar, namun mereka tidak dapat membuktikannya. Akhirnya, pemprotesan di Tubua mati bersama sirnanya semangat mereka.

BAB 4 :                        AISBERG (BONGKAH AIS YANG BESAR)
Latar tempat:    Kutub Selatan, lautan Pasifik, Teluk Pinava, ruang tepi tingkap
Watak :
Bab ini membandingkan usaha dua pihak untuk mendapatkan bekalan air sebagai persediaan menghadapi musim kemarau. Pihak pertama diwakili oleh pihak kerajaan yang mahu menarik bongkah ais ke Ogonshoto sehingga menelan belanja jutaan ringgit. Pihak kedua pula mewakili rakyat jelata yang digambarkan melalui watak seorang lelaki tua yang menggunakan kudrat empat kerat dan peralatan murah untuk mendapatkan air.
            Ogonshoto diramalkan bakal dilanda kemarau teruk selama sembilan bulan kerana kemusnahan hutan yang sepatutnya menjadi kawasan tadahan air. Dua bulan sebelum Ogonshoto dijangka dilanda kemarau, kerajaan mengambil keputusan untuk menarik dua bongkah ais yang sangat besar dari kutub selatan.  Air itu  akan dileburkan menjadi air minuman. Rancangan itu menelan belanja yang sangat besar serta melibatkan banyak pihak. Pada peringkat awal 15 orang Presiden mendapat imbuhan besar. Seorang mendapat imbuhan setelah menjadi ejen mencari pakar-pakar aisberg dari Greenland untuk menggerudi dan mengikat aisberg. Manakala empat belas orang lagi orang Presiden  mendapat imbuhan kerana kapal mereka digunakan untuk menarik dua bongkah ais gergasi dari kutub selatan seterusnya ke perairan Ogonshoto. Rancangan ini turut melibat ribuan anak kapal, pemandu lori, tentera, pembalak dan buruh kasar. Namun demikian, usaha ini berakhir dengan jalan buntu.
            Seorang lelaki Tua dari Runakita pula berusaha menggumpul air dengan menggunakan tulang empat keratnya sendiri. Beliau membuat penyulingan dengan memasak air laut dalam periuk besar dan membiarkan wapnya memasuki tujuh batang bambu. Wap yang memasuki batang bambu akan bertukar semula menjadi air. Air ini dialirkan dan mengisi tujuh tong kosong.  Proses memasak air laut dan penyulingan ini berterusan sehinggalah kesemua empat belas tong besarnya penuh. Sementara proses penyulingan ini berlangsung, lelaki tua menggali sebuah perigi yang dalam dasarnya melebihi 30 kaki. Tanpa mengira penat, lelaki tua menggali lagi sehinggalah pengoreknya hanya menemui batuan keras yang mustahil untuk ditembusi. Setelah berusah selama berbulan-bulan, akhirnya beliau berjaya mengisi empat belas tong besar dengan air bersih, dan pada masa yang sama, mata air mula memancutkan air mengisi periginya.

BAB 5 :                        MAINAN
Latar tempat : Banaba, Kiribati, Lautan Pasifik, Pantai Banaba, Tarawa, Gereja Kecil di Banaba, Pantai barat Gora-Gora, Hospital Tubua, bangunan kompleks istana Presiden, stor peralatan sukan, stor pemakanan istana, kaki Gunung Berapi Gora-Gora, kaki Gunung Berapi Futu-Ata, kaki Gunung Berapi Rai-Rapa, hutan
Watak : Pemuda Banaba, Presiden, Ibu pemuda Banaba, pekerja istana, resi, tentera elit presiden
Berkisar tentang kisah malang seorang anak angkat Presiden dari negara Banaba  yang dijadikan buruan Presiden dalam permainan musim gerhana.
            Seorang anak muda yang pintar dari Banaba telah hanyut di laut selama 60 hari. Beliau akhirnya ditemui terdampar di pantai Ogonshoto. Presiden telah menggambilnya menjadi anak angkat dan peristiwa tersebut mendapat liputan besar-besaran. Selain untuk mendapat nama, pekara tesebut merupakan simbolik sokongan Ogonshoto terhadap Banaba untuk keluar daripada jajahan Kiribati. Pemuda itu hanya menurut sahaja arahan Presiden dan tidak pernah menunjukkan kepintarannya. Dia juga diberi layanan dan kemudahan istimewa sebagai ahli keluarga Presiden.
            Untuk mengisi masa lapang, pemuda itu memelihara seekor tupai. Tupai itu dijaga dengan baik sehinggalah jinak dengannya. Seorang pekerja istana memberitahu bahawa tiga minggu lagi negara Ogonshoto akan dilanda gerhana. Ketika gerhana penduduk Ogonshoto  akan mengadakan permainan berburu. Mereka boleh melepaskan haiwan peliharaan mereka atau memburu sebarang haiwan lain dengan menggunakan sejenis senjata. Namun, senjata tersebut cuma boleh digunakan tiga kali sahaja.
Pemuda tersebut mahu menyertai pertandingan dengan menjadikan tupai peliharaannya sebagai buruan. Dia juga memilih untuk menggunakan temiyang (sumpit) sebagai senjata. Beliau mula berlatih sehingga mahir. Pada suatu hari, Presiden ternampak pemuda tersebut sedang berlatih menyumpit. Damaknya sentiasa tepat mengenai sasaran. Presiden memberitahu pembantunya agar tidak lagi membenarkan pemuda itu memasuki pejabatnya.
Ketika permainan berlangsung, Presiden telah melepaskan empat das tembakan ke arah anak angkatnya itu. Tembakan pertama tersasar. Tembakan kedua mengenai lengan kanannya. Tembakan ketiga mencederakan betis kiri dan tembakan keempat menghancurkan tapak tangan pemuda malang itu. Tentera elit Presiden tiba-tiba muncul dari sebalik semak dan memotong lidah serta kedua-dua tapak tangan pemuda itu. Beliau  dilarang menjejakkan kaki ke istana dan diarah untuk meninggalkan Ogonshoto. Pemuda malang itu diselamatkan oleh para resi. Akhirnya dia mengambil keputusan bertapa di gunung Gora-Gora.

BAB 6  :           PENTAFSIR
Latar tempat :
Watak :
Penduduk Aitu percaya bahawa lelaki yang gemar menyelam itulah satu-satunya resi yang mereka kenal.  Mereka juga percaya bahawa setiap kali menyelam dia meninggalkan segala kekotoraan  dan menjadikan dirinya lebih bersih dan suci. Lelaki tua itu juga gemar berdiam diri,dan jika mahu berbicara dia akan berfikir dahulu akan kata-katanya.
Pernah ada seorang penduduk Aitu yang cuba mendampingi lelaki tua itu.Dia telah mendampingi lelaki tua itu selama 10 tahun. Pada  satu masa dia merasakan bahawa telah tiba masa baginya untuk menceritakan kisah hidup lelaki tua itu. Lelaki tua itu masih muda ketika dia mula-mula menetap di Aitu. Dan hanya ada 11 buah rumah di Aitu termasuk rumah si resi.  Pada suatu hari kawasan perkampungan Aitu telah dilanda dengan abu gunung berapi menyebabkan kawasan perkampungan menjadi warna kelabu. Kemudian mereka mendapati seekor paus telah mati di pantai.
Masuk hari kelapan keadaan menjadi baik seperti sedia kala. Si resi muda itu menyelam untuk menyucikan dirinya sambil berfikir tentang perkara yang berlaku di kampungnya. Dia kemudian mendapati terdapat sebuah kapal berlabuh di Aitu. Ia membawa perkhabaran tentang presiden baharu. Kedatangannya juga diatas arahan Presiden. 
Cerita Itu mengingatkan mereka kapada seorang presiden yang semasa muda ketika berumur 10 tahun telah dibawa ke Eropah kerana kepintarannya. Dia merupakan seorang yang berdedikasi dan pintar dalam akademik. Dia berjaya membawa angin perubahan kepada pendduduk Aitu. Membawa pulang kejayaan dan merupakan seorang yang menghormati orang tua.
Di Aitu, utusan presiden menyatakan presiden akan datang melawat dalam tempoh 100 hari. Mereka dikehendaki menyertai  satu acara dan hadiahnya satu biji kelapa emas. Si resi menyertai acara tersebut dan menyiapkan ‘ciptaan  yang hidup’. Dia berjaya memenangi acara tersebut dan megalahkan dua peserta yang lain.  Presiden memberi hadiah kepada si resi dengan membaling buah kelapa yang dikatakan emas ke atas ciptaan si resi. Si resi merasakan  bahawa dia  telah diperbodohkan oleh presiden. Dia mengarahkan semua penduduk Aitu pulang. Dia duduk di  pantai sambil berfikir panjang.
Tidak lama selepas itu, datang seorang utusan presiden dari Tatamanu, menyoal akan tafsiran  si pendamping. Dia ingin berjumpa dengan si resi. Orang utusan presiden mempersoalkan tindakan si resi yang berbicara soal ketuhanan. Mereka bertelagah hingga Orang utusan berkeras tidak mahu pulang ke Tatamanu. Akhirnya si pentafsir  faham akan kata-kata si resi selama ini yang bukannya tuhan akan tiba menemui mereka tetapi kebenaran itu akan tetap ditegakkan dan kebaikan akan mengatasi sesuatu yang jahat atau kepura-puraan.

BAB 7    :               JARI
Latar Tempat :
Watak :
Ada seorang bekas guru dari Tatamanu, membawa bersama balang berisi jari manis. Ia menjadi tanda tanya kepada tetangga dan sahabatnya. Apatah lagi jari manisnya yang sebelah tangan kanan telah pun tiada.  Akhirnya dia menceritakan perihal jari manis itu.  Ia menjelaskan tentang demokrasi atau kebebasan yang diamalkan di Ogonshoto tidak lagi mempunyai nilai kerana pemerintahnya, khasnya presiden tidak lagi mahu mendengar pendapat orang lain. Walaupun begitu kata-kata tuan presiden itu hanya satu penipuan kerana sesiapa yang melawannya akan dikenakan tindakan yang tegas. Ketika menjadi seorang guru di sekolah tinggi di Ogonshoto, dia telah melemparkan pandangannya melalui pengetahuan yang dimilikinya melalui tulisan yang dimuatkan di akhbar. Dia berjanji akan memotong jarinya jika dia tidak dikenakan tindakan akibat perbuatannya kerana dia yakin akan dikenakan tindakan yang keras oleh pemerintah Ogonshoto.
Ia mengutarakan tentang isu kepincangan dalam pemerintahan. Pemimpin-pemimpin mula lupa tujuan asal perjuangan apabila mendapat kuasa dan kekayaan. Para pemimpin hanyut dalam kegilaan mengumpul kekayaan tanpa menghiraukan kebajikan masyarakat peribumi di Ogoshoto.  Mereka juga ingin mendapat kekayaan yang mudah tanpa memikirkan kesan buruk terhadap masyarakat  bawahan.  Setelah beberapa lama, dia teringat akan janjinya dulu. Dia lalu berjumpa kawannya yang menghidapi penyakit kusta kerana tidak sanggup memotong sendiri jarinya.
Kawannya, yang menunggu kehadirannya meluahkan rasa yang sama, sikap pemerintah yang mengabaikan golongan bawahan yang susah, menjatuhkan hukuman terhadap orang yang tidak bersalah. Tanpa di sedari jari manisnya telah pun dipotong.
Dua minggu kemudian, dia menerima sepucuk surat yang mengarahkan dia berpindah dalam tempoh 24 jam. Saudara-saudaranya turut menerima tempias, ada yang dipindahkan, ada yang diberhentikan dan diturunkan pangkat. Dia menyesal kerana hukumannya lewat datang dan dia telah memotong jarinya sendiri. Tidak lama kemudian kawasan pedalaman Kuri menjadi heboh apabila tiga buah syarikat Turki, Jepun dan Jerman datang dan menggondolkan kawasan hutan bagi membina kelab golf yang besar. Guru itu bermati-matian menghalang projek tersebut kerana boleh mengakibatkan kesan yang buruk seperti Kemarau yang panjang seperti yang pernah berlaku selama sembilan bulan.
Dia mempertaruhkan jari hantu sekiranya projek itu diluluskan kerana pasti akan mendapat tentangan keras dari para pencinta alam. Tidak lama kemudian ketika majlis keyukuran di rumahnya, dia mendapat berita tentang projek padang golf yang akan diteruskan. Guru kidal itu bertindak memotong jari hantunya menggunakan kapak apabila mengetahui kawannya yang menghidap penyakit kusta telah meninggal dunia.


BAB 8  :           KAMERA
Latar Tempat :
Watak :
Dia mewakili Ogonshoto ke tokyo bagi program Penyelidikan Muda Asia Pasifik. Di sana dia berpeluang menghayati kesenian orang Jepun dan  membeli beberapa cenderamata  termasuklah sebuah kamera dan kelengkapannya . Apabila sampai di Ogonshoto ketika didalam teksi dia telah terpandang satu iklan bekas komandan tentera yang memohon maaaf atas kesilapannya semasa berhidmat  dalam tentera.
Pemandu teksi menceritakan pengalamannya membawa orang yang hampir menemui ajalnya. Katanya, kebanyakan mereka akan menyesali akan dosa silam mereka.  Dia meminta supaya dibawa berjumpa dengan komandan tentera tersebut. Setibanya di sana, dia mendapati seorang rakan tentera sedang memarahinya dan berkata dia tidak perlu memohon maaf kepada sesiapa. Hanya kepada tuhan. Bekas komandanterbayang-bayang akan dosanya yang lalu antaranya lelaki aktivis hak asasi manusia yang dibunuhnya di gunung berapi Gora-Gora lima tahun lalu.  Rakan tentera itu membawa bekas ke hospital. 
Apabila sampai di kamarnya, dia mencantumkan kameranya. Akhirnya kamera itu siap dicantumkan. Ia boleh mengeluarkan gambar dan suara sesuatu peristiwa dengan memasukkan tarikh, cuaca dan suhu badan. Dia akhirnya terfikir tentang kata-kata bekas komandan itu. Mungkinkah aktivis itu abangnya dan khabar angin yang menyatakan abangnya bersembunyi di Amerika adalah tidak benar. Lalu mereka mendaki Gunung Gora-Gora, Menetap masa dan mengambil gambar. Lalu mereka mendapati bekas komandan itulah yang membunuh abangnya.
Dia berhasrat untuk menuntut keadilan ke atas kematian abangnya. Dia menyiapkan jadual penggunaan kamera  untuk diserahkan kepada kawannya sebagai persiapan kalau-kalau apa berlaku kepadanya. Lantas bergegas ke pejabat undang-undang Tatamanu, menyerahkan tiga keping foto sebagai bukti. Muncul dua orang tentera, menggari dan menahannya atas tuduhan menggunakan kamera yang belum diluluskan. 
Dia dimasukkan ke dalam jel. Salinan fotonya telah dibuat salinan dan dihantar ke hospital tempat bekas komandan ditahan. Dia ditunjukkan foto itu selama dua hari sehingga menemui ajalnya. Kemudian dihantar pulang dengan teksi tanpa ada sebarang penghormatan. Sementara cendikiawan  pemilik kamera itu menunggu perbicaraan dirinya dan tertanya-tanya adakah kes pembunuhan abangnya akan dibawa ke muka pengadilan

BAB 9  :           BAHTERA
Latar Tempat :
Watak :
Bakal nokhoda  yang berumur lewat lima puluhan itu berdiri di atas kapal, memerhati  longgokan kayu dari bangsal pekerjanya yang telah dirobohkan. Dia memerhati sekeliling, melihat pekerjanya yang sedang sibuk bekerja. Lalu dia teringat akan seekor penyu yang mendorongnya membina kapal itu.
Pada suatu senja, ketika di bersampan hendak menuju ke pantai, dia ternampak seekor penyu yang amat besar, berenang menyusup ke bawah perahunya. Dia terpaku. Lalu bergegas ke daratan, menceritakan kepada kawan-kawannya yang sedang berehat di kedai kopi. Tak seorang dari mereka percaya akan ceritanya. Semua kawannya beredar, kecuali seorang yang pendiam. Kawannya memberitahu dia pernah mendengar cerita itu dari datuknya. Cerita kedatangan penyu itu tidak penting, kerana ada sebuah gua besar tempat ia tinggal. Yang penting bila ia akan pergi dari situ, kerana bila dia pergi ke laut dalam bermakna akan berlaku malapetaka kepada pulau ogonshoto. Katanya seribu tahun dulu berlaku gempa bumi yang besar disini menyebabkan lenyap beberapa buah pulau kecuali Gora-Gora, Futu-Ata Rai Rapa dan pulau-pulau pasir.
Nakhoda itu melihat semakin ramai yang datang mendaftar naik ke kapalnya. Nampaknya semakin ramai yang mempercayai kata-katanya perihal penyu besar itu.  Tetapi dirumah dia ditentang oleh anaknya sendiri. Katanya Ogonshoto jauh dari lingkaran api pasifik. Lelaki tua itu sukar menyangkal kata-kata anaknya, apatah lagi dia seorang yang buta huruf berbanding anaknya.
Semasa mencari kayu untuk membina bahteranya, permohonannya untuk menebang kayu dihutan ditolak oleh pemerintah Ogonshoto sehinggalah sebuah firma jepun yang berjaya menyakinkan pemerintah Ogonshoto. Mereka diberikan hutan seluas lima ratus ekar.  Akhirnya bahtera  itu juga dapat disiapkan.Muncul dua orang perempuan dan seorang lelaki yang berpenyakit. Kata mereka, penyakit itu didapati selepas menghadiri jamuan di rumah Presiden. Kemudian muncul seorang lelaki berbaju putih yang mahu menunpang bahtera itu. Rupanya dialah tukang masak di istana presiden. Nakhoda memintanya dia menceritakan hal hidangan tersebut, katanya dia menyembelih seorang tetamu yang datang kerumahnya bagi menggantikan daging rusa seperti yang diminta oleh presiden dalam masakan bubur taro. Dari sana semuanya mendapat sakit.
Tiba-tiba kelihatan penyu gergasi di laut. Nakhoda meminta dilayarkan bahteranya, lalu melandalah tsunami di Ogonshoto. Menyapu bersih segala-galanya termasuk anak lelakinya.

PROLOG – TSUNAMI
Latar Tempat :
Watak :
Bahtera dari Ogonshoto berlabuh mendahului  Kawai Maru. Mereka membawa cerita yang sama tentang tsunami, pertemuan itu menjadikan mereka semakin rapat. Dari sinilah segala cerita-cerita dari Ogonshoto didengari. Tetapi itu semua telah lama berlalu. Peristiwa Tsunami itu berlaku ketika penulis berumur 45 tahun, dan sekarang dia berusia lapan puluh tahun. Dia juga tertanya-tanya adakah Tuan Kawai masih hidup. Kepulangan mereka ke kampung halaman merupakan pengalaman yang janggal. Tiada lagi sahabat lama. Isteri-isteri rimas dengan kehadiran suami yang telah lama biasa dengan lautan di atas Kawai Maru.
Penulis tidak pulang ke kampung halamannya, sebaliknya menetap di Tokyo. Dia tinggal di kejiranan yang sunyi. Dia melelapkan mata, kedengaran sayup ditelinganya siren kereta mayat yang semakin menjauh. Semakin lama semakin jauh.

Cerita kembali kepada realiti masa kita apabila penulis tersedar daripada kesan ubat bius selepas pembedahan. Encik Noor yang berasal dari Malaya membuka matanya, dan mendapati dia berada di wad hospital. Tubuhnya dipenuhi tiub dan seorang jururawat berdiri di sisinya. Dia sedar bahawa dia telah keluar dari wad pembedahan di Jepun. Dia telah lama merahsiakan penyakit itu dari pengetahuan keluarga dan sahabatnya. Tetapi ia menjadi semakin serius ketika menjalankan tugas dengan sebuah organisasi  asia pasifik di Tokyo.

Comments

Post a Comment